PUTIK, Pengkalan Chepa, Kelantan - 29 Jamadil Akhir 1431H / 11 Jun 2010
Muktamar PAS kali ke-56 ini melihatkan Jabatan AMAL bertugas mengawal lalulintas. Alhamdulillah dengan kerjasama semua unit amal kawasan-kawasan, muktamar yang gilang-gemilang ini berjalan dengan lancar. Bagi Jabatan AMAL Negeri Terengganu sendiri, skuad trafik negeri diketuai oleh Sdr Wan Halim. Al amalulillah... Takbir !
Tema bagi Muktamar kali ke-56 ini adalah "ISLAM ADIL UNTUK SEMUA" di mana Tn Guru Presiden, menekankan tentang : 1. Tanggungjawab Islam dalam masyarakat majmuk 2. Pemerkasaan Parti & Tarbiyyah 3. Peranan Majlis Syura Ulama' 4. Peranan Pimpinan Pusat 5. Peranan Dewan Ulama' 6. Peranan Dewan Pemuda 7. Peranan Dewan Muslimat 8. Peranan Dewan Himpunan Penyokong 9. Konsep Federalisma & Masa Depan Negara 10. Krisis Nilai, Sosial & Ekonomi 11. Peranan PAS di peringkat antarabangsa 12. Tindakan setiap ahli & kepimpinan
Semoga ucapan dasar Tn Guru Presiden ini diperbahaskan dan diperhalusi di peringkat Jabatan AMAL sendiri dan menjadi asas bagi gerak-kerja Jabatan AMAL khususnya di Negeri Terengganu.
Jabatan AMAL Negeri Terengganu pada hari ini telah menganjurkan makan malam bersama Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS bertempat di Restoran Suriya Rasa, Rusila, Marang.
Makan malam ini adalah antaranya bertujuan bagi mengumpul dana bagi Jabatan AMAL Negeri Terengganu.
Sementara menunggu jemputan, rakaman & slide show aktiviti Jabatan AMAL Terengganu telah ditayangkan. Antara aktiviti yang menjadi kenangan manis seperti misi kemanusiaan semasa banjir di Johor, gotong royong, aktiviti kebajikan dan pelbagai lagi.
Jemputan khas daripada Shoutul Amal juga dijemput menghiburkan para tetamu. Alunan nasyid yang disampaikan memang tidak lekang dek zaman.
Acara kemuncak adalah ucapan daripada Tn Guru Presiden. Antara yang ditekankan oleh Tn Guru adalah sambutan masyarakat di Sibu kepada PAS. Semasa pilihanraya kecil tersebut, PAS diperkenalkan kepada masyarakat maka tertubuhnya cawangan PAS di situ. Tn Guru Presiden juga menekankan tugas Jabatan AMAL kepada masyarakat terutamanya dalam khidmat kebajikan.
Syabas diucapkan kepada Jabatan AMAL Negeri Terengganu.
20hb Okt 2009 – Sekumpulan 6 orang petugas dari Yayasan Amal Terengganu telah bertolak ke Pariaman, Padang, Indonesia bermula dari 15hb Okt 2009 selama 4 hari, bagi misi kemanusiaan setelah bumi Minang tersebut dilanda kegoncangan gempa bumi pada kekuatan 7.6 S.R pada 30hb September 2009 baru-baru ini.
Kumpulan kedua dari Yayasan Amal Malaysia ini telah diberikan tugasan untuk membantu mencapai sasaran menyediakan 12 telaga sumber air bersih yang sangat – sangat diperlukan oleh masyarakat yang ditimpa musibah kepada beberapa buah kampung di persekitaran POSKO di kampong Lubuk Pandan yang menjadi pusat operasi kami di sana. Dengan kepakaran teknologi penyediaan “tube-well” yang banyak dipraktikkan di negeri Kelantan & Terengganu, Yayasan Amal Malaysia berkeyakinan, keperluan mendesak kepada sumber bekalan air bersih itu dapat dipenuhi.
Misi Kebajikan dan Kemanusiaan mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia.
Di antara kampung yang berjaya disiapkan sumber air bersih itu adalah Kampung Lubuk Pandan, Kampung Si Gaung, Kampung Segenting, Kampung Penyalai dan Kampung Teluk Asam. Tidak dapat digambarkan, kegembiraan bagi penduduk setempat apabila setiap kali kerja – kerja mendapatkan sumber air bersih bagi kegunaan mereka siap diusahakan.
“Kami merasa puas apabila setiap satu telaga disiapkan disambut dengan gembira oleh penduduk kampung, walaupun badan kami keletihan” ujar Mohamad dari Dungun yang mana penggalian telaga kaedah ini sudah tidak asing bagi dirinya di Dungun, Terengganu.
Bagi En Zaradi Bin Su, 44 tahun, beliau merasa amat berterima kasih kepada ke semua penyumbang-penyumbang yang telah menderma melaluinya sebelum beliau berangkat mengikuti misi Yayasan Amal Terengganu ke Padang. “ Banyak yang telah dimanfaatkan hasil sumbangan orang ramai, antaranya pembelian peralatan, paip, pam air dan keperluan-keperluan lain”, ujarnya.
Pada hari keempat misi kedua Yayasan Amal di sana, satu program bersama masyarakat setempat telah disusun untuk majlis pengagihan selimut dan sumbangan makanan kepada kanak-kanak. Dalam majlis itu juga, penduduk di situ telah dimaklumkan dengan usaha kami bagi menyegerakan penggalian telaga air bersih dan kerja-kerja kaunseling kepada pelajar di sekolah-sekolah. Berkebetulan juga, di lokasi majlis tersebut, terdapat sebuah telaga yang siap dibina telah menjadi ikon perasmian “sumur bor” (Tube-well) Yayasan Amal Malaysia.
“Dianggarkan, tidak kurang dari 200 orang penduduk telah mengambil kesempatan menerima sumbangan derma dari kami, rata-rata mereka meluahkan rasa amat bersyukur dan tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada kami, ini sekaligus, menolak provokasi pihak media tentang adanya konfrontasi antara Malaysia – Indonesia. Kami diberi layanan dan kerjasama yang baik dari kesemua penduduk yang ditemui”- ulas Wan Adib dari Paka.
Dalam majlis yang diadakan pada sebelah petang hari kempat operasi itu, Selimut, Sarung dan beberapa jenis makanan keperluan telah selamat diagihkan kepada lebih 200 orang penduduk. Rombongan bertolak kembali ke tanahair pada 20hb Oktober 2009, Selasa.
Peserta misi kedua Yayasan Amal Malaysia Terengganu :- Mohd Saifuddin Awang Mohd Zuber Salim Wan Mohd Adib Wan Zain Mohd Zaradi Bin Su Mohammad Bin Jusoh Mohd Sabri Abu Bakar